Ni esei untuk MARA time buat loan 



Suatu pagi yang hening dan ceria pada hari Isnin 19 September 1994. Lahirlah seorang insan iaitu saya di Hospital Besar Kuala Lumpur. Ketika itu, saya hanya sebesar telapak tangan ibu saya kerana ketika dilahirkan, saya hanya enam bulan setengah. Pada keesokannya iaitu 20 September 1994, saya didaftarkan dan diberi nama Muhammad Hidir oleh datuk saya. Saya adalah anak kedua daripada enam adik beradik. Adik saya yang paling bongsu berumur dua tahun setengah dan kakak saya adalah paling tua yang berumur 21 tahun ( 2014 ) dan kini belajar di Universiti Malaysia Terengganu ( UMT ) sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Ternologi Permakanan. Bapa saya bernama Zuriene Heslin yang dahulunya berkerja di beberapa syarikat sebagai programmer komputer sebelum ayah saya berhenti dan memulakan perniagaan kecil-kecilan seperti pasar malam dan lain-lain. Ibu saya bernama Aisah yang  dahulunya sebagai seorang cikgu sekolah swasta tetapi mengikut jejak langkah yang sama seperti ayah saya dengan menolong ayah meniaga. Namun begitu, ibubapa saya cekal melalui perubahan sedikit demi sedikit kewangan keluarga kami. Saya bersyukur kerana datuk saya selalu menolong ibubapa saya dari segi sokongan hingga kewangan.

Seingat saya dan disokong penceritaan oleh ibu saya. Saya melalui pra-sekolah yang pertama di sebuah tadika bertempat di Sungai Buloh pada lima tahun dan selepas itu di Kajang pada umur saya enam tahun. Saya melalui sekolah rendah dan menengah yang banyak disebabkan keluarga saya berpindah namun hanya di sekitar Lembah Klang. Penceritaan yang ringkas, saya mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang dan memperoleh 1A iaitu Penulisan ( Bahasa Melayu ). Saya mengambil Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) di Ma’had Tahfiz At Tijarah Selayang dan memperoleh 1A iaitu Sejarah. Akhir penceritaan alam persekolah saya, saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) di Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh dan memperoleh 1A ( Sejarah ), 1A- ( Applied Science ), 2B+ ( Pendidikan Islam dan Penyamanan Udara ), 2B ( Bahasa Melayu dan Penyejukan ), 1C+      ( Matematik ) dan 1E ( Bahasa Inggeris ).

Sehabisnya alam persekolahan, saya terus melalui kehidupan yang penuh suka dan duka dengan menolong ibubapa saya meniaga. Ketika itu, saya tidak memikirkan tentang sambung belajar sehingga keputusan SPM diumukan. Saya masih dengan pendirian saya hingga satu demi satu rakan sekolah saya mahupun rakan jiran saya menyambung pelajaran dengan memasuki Tingkatan Enam, Institut Pengajian Tinggi dan Sijil. Bulan silih berganti, hampir dua tahun sudah berlalu, melihat rakan saya yang sudah menamatkan Tingkatan Enam dan Sijil dan ada rakan yang mengambil Diploma kini di peringkat akhir pengajian mereka. Saya terasa seolah-olah tiada kelebihan atau ketinggalan berbanding mereka kerana kelayakan pendidikan saya hanya SPM yang tidak terlalu cemerlang. 


Walaupun keputusan SPM saya yang tidak terlalu cemerlang. Jauh di dalam hati saya, ingin memegang sekalung ijazah dan merasai kehidupan yang bahagia seperti yang saya impikan. Ini kerana saya ingin keluar dari kesusahan keluarga saya. Keluarga saya tidak terlalu senang seperti beberapa rakan saya di PTPL. Ayah saya sekarang hanya peniaga pasar malam dan pasar pagi yang menjual tudung, selendang dan sebagainya. Apabila saya menolong ayah saya di pasar, saya memahami penat lelah ayah saya yang ditolong oleh ibu mencari kepingan kertas yang dinamakan duit. Kepingan kertas bernilai itu yang ayah saya dapat dengan tidak seberapa dan penuh penat lelah mampu memberi kami adik beradik makan, belanja harian dan lain-lain dengan cara yang serdahana. Pernah ayah saya demam beberapa hari lamanya disebabkan berpanas di pasar pagi dan berhujan. Saya memahami kesusahan ibubapa saya, saya tidak ingin menyusahkan mereka lagi dan saya ingin mereka senyum melihat saya mengeluarkan mereka dari kesusahan hidup mereka. Ini adalah antara janji saya kepada diri saya.

Langkah impian saya ingin memegang sekalung ijazah bermula dengan saya mendaftar di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan ( PTPL ) yang disokong oleh ibubapa saya. Saya mengambil jurusan Diploma Seni Kulinari di bawah School of Culinary Arts ( SCA ). Semester pertama saya bermula dengan semester pendek selama tiga bulan dari bulan Julai 2014 hingga September 2014 dengan mengambil subjek Pengajian Islam dan Pengenalan kepada Industri Hospitaliti. Keputusan semester pendek bulan Julai tersebut adalah 3.67. Kini saya berada di semester dua ( semester panjang ) dan subjek yang saya ambil kini adalah Teori Makanan, Larder Production ( kitchen ), Pengurusan Sistem Katering dan English Language Awareness. Saya berharap keputusan semester ini kelak mampu mengekalkan atau menaikkan pointer dan paling kurang pointer tidak jatuh di bawah 3.5. Ini kerana saya ingin dianugerahkan Senarai Presiden pada semester ini. Tidak kurang juga beberapa rakan saya di PTPL yang mencabar saya untuk mendapatkan Senarai Presiden pada semester ini dan pengakhiran program Diploma ini. Bagi saya, situasi sebegini mampu memupuk semangat positif dalam diri saya mahupun rakan-rakan saya.

Perancangan saya selepas menghabiskan program Diploma Seni Kulinari di PTPL adalah menyambung pengajian ke Management Science University  ( MSU ) dalam program Ijazah Sarjana Muda di bawah bidang hospitaliti atau sains makanan. Selain itu jika berpeluang, saya ingin menyambung pengajian ke  Universiti Teknologi MARA ( UiTM ) atau Institut Pengajian Tinggi Awam ( IPTA ) selain daripada MSU untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda. Namun jika ditakdirkan saya tidak berpeluang langsung menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi, saya pilih untuk berkerja dalam bidang kulinari atau pengurusan perhotelan dan saya tetap akan mencari peluang untuk menyambung pengajian saya walaupun belajar secara sambilan. Bagi saya, umur dan kesibukan bukan penghalang untuk seseorang itu belajar.



Mengakhiri penceritaan tentang diri saya. Ingin saya meluahkan sedikit perasaan yang terpendam. Harap dapat berkongsi perasaan dan pengalaman dengan pihak MARA. Walaupun saya bukan dari keluarga senang dan pernah keluarga saya terutama ibubapa saya dipandang agak hina hanya kerana ayah saya seorang peniaga pasar malam. Saya memegang kuat kata falsafah yang saya dapat dari sebuah laman blog milik seorang penceramah bebas berbunyi “jangan peduli dari mana kita datang, tetapi fikirkan kesudahan perjuangan kita”. Sebagai pengakhiran esei, saya nukilkan pantun untuk pembaca khas pihak MARA. 

Mendayung sampan ke hilir,
Mendayung lagi sampai ke Tasik Bera,
Diberi nama Muhammad Hidir
Dia adalah harapan negara dan bangsa.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman pertama hiking

perjalanan seorang pink walker

NUANG, KAU KEJAM TAPI KAU MAHALLLLL !!!! ( NEWBIES )